Pelancaran Pameran Jejak Waktu : Kisah Dari Artifak





Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi  / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman 






BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 19 Mei. - Jabatan Muzium-Muzium melalui Bahagian Etnografi mengadakan Pameran Jejak Waktu : Kisah Dari Artifak bersempena Hari Muzium Antarabangsa 2025 dan sambutan hari berkenaan diraikan pada tanggal 18 Mei setiap tahun.


Sehubungan itu, Majlis Pelancaran Pameran yang berlangsung di Ruang Legar, Muzium Teknologi Melayu di sini disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.


Terdahulu Pemangku Pengarah Muzium-Muzium, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus selaku pengerusi majlis dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa Hari Muzium Antarabangsa yang diraikan setiap tahun pada 18 Mei merupakan acara tahunan bertaraf global bagi menghargai peranan muzium dalam memelihara warisan budaya dan sejarah dunia.


Menurutnya, pada Pameran Jejak Waktu : Kisah Dari Artifak tersebut, seramai tujuh kolektor individu yang dijemput khas untuk mengikuti pameran itu dan setiap individu mempamerkan artifak yang berlainan mengikut tema koleksi masing-masing. 


Pameran itu, tambahnya, bertujuan mengetengahkan koleksi-koleksi mereka, sebagai tanda penghargaan terhadap usaha mereka dalam bersama-sama memelihara artifak berharga yang mencerminkan identiti serta warisan budaya Negara Brunei Darussalam (NBD).


“Selaras dengan tema rasmi Hari Muzium Antarabangsa tahun ini, 'Masa Depan Muzium Dalam Komuniti Yang Berubah Dengan Pesat', pameran ini diharapkan dapat memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai nilai sejarah dalam koleksi peribadi, serta memupuk rasa tanggungjawab untuk terus memelihara warisan agar dapat dikongsi dan diwarisi oleh generasi akan datang," jelasnya.


Sementara Yang Dipertua Persatuan Sejarah dan Pengumpul Artifak Brunei, Dr. Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos menerangkan bahawa koleksi membantu memelihara warisan sebagai pusaka untuk generasi akan datang, terutamanya bagi kita dalam mewariskan Melayu Islam Beraja satu cara hidup yang telah wujud selama ratusan tahun.


Koleksi boleh menceritakan kisah tentang sejarah dan teknologi serta meningkatkan kemahiran penduduk negara. Koleksi merupakan bukti sejarah dan budaya – gema sejarah dan budaya lama kepada dunia baharu masa kini.


“Namun, terdapat cabaran yang perlu dihadapi. Tidak ramai yang menghargai kepentingan dan nilai artifak-artifak ini. Ia sama ada ditinggalkan, dijual kepada pengumpul asing atau dianggap sekadar hiasan tanpa memahami sejarah dan nilai sebenarnya," tegasnya.


Adapun pameran berkenaan diadakan selama tiga bulan bertempat di Ruang Lobi, Muzium Teknologi Melayu bermula hari ini hingga 27 Ogos 2025.


Selain itu, Jabatan Muzium-Muzium juga akan mengadakan Forum Siri Bicara Budaya di Ruang Lobi, Muzium Teknologi Melayu pada Khamis ini sebagai usaha menyediakan platform bagi kolektor artifak dan pegawai jabatan untuk mengongsikan pengalaman dalam penyimpanan, pemeliharaan dan pembaikan bahan-bahan.


Forum ini sebagai platform kepada para kolektor untuk berkongsi pengalaman mereka, manakala salah seorang Pegawai Pemeliharaan daripada Bahagian Pemeliharaan dan Pembaikkan, Jabatan Muzium-Muzium untuk membincangkan usaha-usaha pemeliharaan dan pemulihan bahan artifak. 


Adanya usaha seumpama ini diharap akan dapat memberikan pendedahan dalam penjagaan warisan 'kitani' di NBD.


Pameran Jejak Waktu : Kisah Dari Artifak bertujuan meningkatkan kesedaran awam tentang nilai sejarah koleksi peribadi, dan dalam masa yang sama memupuk tanggungjawab kolektif dalam memelihara warisan negara untuk generasi akan datang.


Turut hadir, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Duta-duta dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi Luar Negara di NBD, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Ahli-ahli Lembaga Muzium, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan Jabatan Muzium-Muzium.


Close